MOHD Hamirul Aliff, bapa kepada Al-Adam Mikail, seorang pelumba muda yang berbakat dalam kategori SIC Ohvale Junior Championship, memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai untuk menampung kos latihan dan perlumbaan anaknya sepanjang tahun 2024.
Menurut Hamirul, tahun 2024 merupakan tahun yang mencabar dari segi ekonomi bagi keluarganya.
Dia berharap agar semua pihak dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi untuk memastikan Al-Adam Mikail dapat terus berlatih dan bersaing dalam perlumbaan bersama pasukan ZK Racing Team.
“Kami sangat berterima kasih kepada semua yang sudi memberi sumbangan ikhlas untuk merealisasikan impian anakanda saya. Dengan bantuan anda semua, Al-Adam Mikail dapat meneruskan latihan dan bertanding dengan lebih baik dalam SIC Ohvale Junior Championship,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Mohd Hamirul menyatakan hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik mereka yang membantu.
Sejajar dengan permohonan ini, dia turut mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang sudi membantu mereka.
“Sokongan anda semua sangat bermakna bagi kami, dan kami berdoa agar anda semua diberkati dengan kebaikan yang melimpah ruah,” tambahnya.
SIC Ohvale Junior Championship merupakan salah satu kejohanan motosikal junior yang berprestij di Malaysia, di mana pelumba-pelumba muda berbakat berpeluang untuk menunjukkan kebolehan mereka dan berkembang dalam sukan permotoran.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina karier dalam sukan motosikal tetapi juga memupuk semangat juang dan disiplin di kalangan pelumba-pelumba cilik.
Selepas dua pusingan, Al-Adam kini mendahului kejuaraan dengan mengumpul 91 mata dan muncul juara Pusingan 1 di Litar Lumba Tangkak.
Pusingan 3 akan berlangsung pada 13 dan 14 Julai di Litar MORAC Adventure Park, Langkawi, Kedah disusuli saingan Pusingan 4 yang akan diadakan di Litar Lumba UNIMAP, Arau, Perlis pada 3 dan 4 Ogos.
Pusingan akhir akan kembali di Litar Go-kart Sepang pada 19 dan 20 Oktober depan.