KEMENANGAN besar Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi kedua Kumpulan G Piala AFC 2022 menyuntik para pemain lebih bersemangat menghadapi penentuan perlawanan terakhir pada Khamis.

Malah, tiga mata yang diperolehi semasa membelasah kelab Filipina, Kaya FC menggembirakan hati pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak.

“Alhamdulillah. Kredit semua pemain yang bekerja keras dan positif selepas kami kalah dengan Bali United perlawanan pertama.

“InshaAllah karektor baik yang dipamerkan, tidak putus ada serta kembali bangkit untuk menang, saya rasa kemenangan ini baik untuk penyokong. Secara keseluruhan separuh masa pertama berjalan lancar, dan di separuh masa kedua kami rancang gameplan yang lain.

“Kemasukan Fayadh Zulkifli mengubah rentak permainan kami dan pemain faham serta tahu apa yang saya mahukan daripada mereka.

“Cuma agak kecewa kami dibolosi satu gol dan akan belajar dengan perkara ini,” kata Aidil yang membuat lima pertukaran pada perlawanan di Gianyar, Bali.

Ditanya pemberita apakah kata-kata semangat diucapkan kepada para pemain semasa tempoh rehat 15 minit di bilik persalinan, Aidil hanya mahu anak buahnya terus menikmati permainan dengan tenang.

KDA FC juga menguasai bola dengan 60 peratus dan melepaskan 15 percubaan, enam daripadanya tepat ke sasaran.

Sang Kenari kini berada di tangga kedua kumpulan dan pertembungan menentang Visakha akan menentukan empat slot ke peringkat seterusnya!

Pencapaian terbaik kelab dari utara itu dalam kejohanan pentas Asia adalah mara ke suku akhir pada tahun 2008 semasa di bawah kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah.