PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan bahawa kelabnya bakal menerima tambahan penajaan yang bernilai €8 juta (RM 37. 24 juta) selama tiga tahun daripada sebuah syarikat antarabangsa.
Selain itu, kerjasama JDT dengan Nike akan berterusan dan Pengurusan JDT dijemput ke Amerika Syarikat untuk menandatangani kontrak baharu dengan Tunku Ismail sendiri memberitahu rekaan jersi musim 2024 akan menampilkan ciri-ciri negeri Johor.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh Tunku Ismail ketika sesi bersama penyokong yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman sosial rasmi kelab.
Ia merupakan satu pengiktirafan buat JDT kerana kekuatan jenama dan nilai projek jangka panjangnya. Kehadiran penaja baharu ini menambah lagi senarai tajaan yang sudah pun menjadi rakan kongsi JDT sejak penubuhan kelab pada 2013.
Ianya juga membuktikan para penaja percaya dengan potensi yang ada pada JDT dan Tunku Ismail berharap akan lebih banyak penaja tampil untuk menjalankan kerjasama dengan skuad Harimau Selatan.
Selain itu, JDT juga menghampiri nilai RM1 bilion apabila Pusat Latihan Berpusat JDT siap sepenuhnya manakala pusat latihan lama seperti di Padang Mawar, Pasir Gudang dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah masih kekal menjadi aset kelab.
JDT muncul kelab pertama yang mempunyai fasiliti sendiri terdiri daripada stadium, pusat latihan yang lengkap dan juga pakar sains sukan terlatih yang banyak membantu pembangunan dan pemulihan para pemain.