RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform wanita pada Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary.
Pandelela mengutip 338.85 mata keseluruhan, ketinggalan 78.4 di belakang Chen Yuxi dari China yang memenangi emas manakala seorang lagi peserta China, Quan Hongchan di tempat kedua dengan 416.95 mata, 0.4 di belakang rakan senegaranya itu.
Pada aksi saringan, Pandalela ditempat keempat sebelum turun ke tangga ketujuh pada peringkat separuh akhir. Namun begitu pengalaman banyak membantu dia dalam aksi final untuk meraih tempat ketiga seterusnya mendapat pingat gangsa.
Dia mencatat mata 63.00 pada terjunan pertama sebelum meningkat kepada 71.05 pada terjunan kedua. Pandalela sedikit bergelut pada terjunan ketiga apabila hanya mendapat 62.40 mata.
Seterusnya dia menunjukkan aksi mantap pada terjunan keempat apabila mencatat 75.20 mata sebelum mengakhiri terjunan kelima dengan 67.20 mata untuk mengumpul mata keseluruhan 338.85.
Pandalela adalah penerjun paling senior dalam acara berkenaan, dan selepas ini dia akan bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama wanita.
Pada edisi 2019, Pandelela menduduki tempat kelima dalam acara 10m platform, namun membawa pulang perak dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya ketika itu, Datuk Leong Mun Yee.