KEADAAN terkini Stadium MBPJ, Kelana Jaya selepas melalui proses penambahan baikkan jelas memberikan pengalaman menonton yang lebih mengujakan bukan sahaja buat para penyokong tetapi juga para penaja Selangor FC.

Stadium yang dahulunya boleh dilabelkan sebagai usang kini berubah wajah dengan kesemua teres telah dilengkapi ‘single seater’ yang jelas menambah keselesaan para penyokong sekaligus mendorong kehabisan jualan tiket pada setiap perlawanan setakat ini.

Pihak pengurusan Selangor FC juga cakna dengan kehendak para penyokong terutama dari segi jualan makanan dan minuman yang mana mereka menggunakan teknologi kod QR yang hanya perlu diimbas untuk melakukan pesanan dan ianya akan dihantar kepada mereka berdasarkan nombor tempat duduk.

 

Tangkap layar video yang tular di laman sosial

Perkara ini kini menjadi tular di laman sosial apabila video penggunaan kod QR ini dikongsikan oleh salah seorang penyokong yang mendapat perhatian netizen dan peminat bola sepak tempatan.

Penggunaan teknologi ini sangat memudahkan penyokong selain dapat mengurangkan kesesakan di bahagian kaunter jualan selain memberi peluang buat sukarelawan untuk mempelajari ilmu perkhidmatan pelanggan.

Selain penyokong, Selangor FC juga menyediakan ‘sky deck’ buat rakan penaja dan juga tetamu VIP yang berkonsep terbuka dan mempunyai ruang pandang keseluruhan padang yang memuaskan hati.

Ruangan ‘Sky Deck’ yang menyantuni para penaja dan tetamu VIP

Dilengkapi sofa yang empuk serta berkonsepkan lounge, para penaja boleh menyaksikan perlawanan bola sepak dan juga melakukan ‘networking’ sambil dihidangkan makanan serta minuman setaraf dengan tahap mereka sebagai tetamu VIP.

Tinjauan FLASH SUKAN di ‘sky deck’ itu mendapati ianya sangat selesa dan nyaman kerana turut dilengkapi ‘mist fan’ yang memastikan suhu sekitar sentiasa terkawal meskipun perlawanan berlangsung pada sebelah petang.

Kemudahan tandas di belakang lounge juga menambah kemudahan dan perkara-perkara ini yang akan menjadikan para penaja merasakan penajaan mereka itu berbaloi dengan layanan VIP yang diterima dari pihak kelab.

Setakat ini, berdasarkan perkongsian di laman web rasmi kelab, Selangor FC mempunyai 34 rakan penaja dan kerjasama bagi musim 2024-2025.