CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei tidak diizinkan untuk memikirkan kitaran Olimpik akan datang, sebaliknya menjadikan Sukan Olimpik Paris sebagai yang terakhir.
Juara dunia dua kali, Nova Widianto berkata, pemikiran itu penting untuk memastikan beregu utama negara itu tanpa ada pilihan lain, untuk menghasilkan keputusan yang berbeza.
Beliau berkata, berdasarkan kesungguhan dalam sesi latihan, Tang Jie-Ee Wei boleh dianggap antara pasangan serba lengkap untuk mencabar kejuaraan di Paris.
Sebagai jurulatih yang berpengalaman melahirkan beregu campuran mantap di Indonesia, Nova hanya mahu anak didiknya menzahirkan kekuatan yang berjaya ditonjolkan dalam latihan, kepada saingan di Temasya Paris yang akan bermula Julai depan.
“Dari segi persiapan, corak permainan mereka… saya sangat yakin (mampu bawa pulang pingat).
“Pertama, mereka mempunyai keinginan besar untuk berlatih dan melakukan apa yang sudah diberi, itu menjadi persiapan paling bagus.
“Cuma saya mahu, di Olimpik nanti mereka dapat memberikan persembahan maksimum dan mengeluar segala kemahiran yang ada,” kata Nova, ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Tambah Nova, beliau melihat komitmen dipamerkan Tang Jie dan Ee Wei jauh berbeza selepas berakhirnya saingan Terbuka Indonesia.
“Di Terbuka Indonesia, kita (Tang Jie-Ee Wewi) kalah awal, balik Malaysia menjadi yang pertama kembali berlatih.
“Lagipun, mereka tidak bersama pasukan di Piala Thomas membolehkan menjalani tempoh latihan paling panjang setakat bersama saya.”
Justeru, beliau berharap kedua-dua pemain terbabit tidak mengalami kecederaan menjelang Olimpik.
Biarpun gagal meraih sebarang gelaran sepanjang tahun ini, Nova berkata, Tang Jie-Ee Wei yang mula digandingkan pada Disember 2022 sebenarnya pasangan yang ditakuti lawan.
Corak permainan pantas dan keras tidak digemari lawan tetapi perlu memperkuat mental.
“Banyak orang tidak suka dengan permainan laju dan keras mereka berdua. Jadi, saya bagi tahu mereka perlu tampil yakin dan beri habis-habisan malah anggap ini sebagai Olimpik terakhir. Kita bantu dari belakang dan kini mereka tentukan,” katanya.