RUANG kosong yang perlu diisi nama penerima tiket wild card bagi olahraga ke Sukan Olimpik 2024, kekal ‘zero’ apabila sidang media dibuat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hanya memanjangkan teka teki hingga ke 2 atau 3 Julai ini.
Kata putus Tuan Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mahu didengar dalam sidang media di lobi Parlimen, pada petang Khamis, seolah-olah mahukan spekulasi berterusan terus berlegar, antara Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy.
Ketika ini, pemilik rekod kebangsaan 100 meter (m), Azeem dan 400m, Shereen, berada dalam pertimbangan badan induk olahraga kebangsaan itu.
Azeem, 20; dan Shereen, 26; memenangi pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, gagal melayakkan diri secara merit ke Paris selepas tidak berjaya melepasi masa kelayakan 10.0s (100m) dan 50.95s (400m).
“Kedua-dua atlet ini sebenarnya layak untuk diberikan wild card bagi beraksi di Olimpik Paris. Tapi, saya tidak dapat membuat keputusan sekarang sebaliknya akan diumumkan pada 2 Julai ini.
“Sebelum ini Olahraga Dunia (WA) memberikan dua slot wild card, masing-masing satu untuk atlet lelaki dan satu wanita. Namun, kali ini mereka hanya memberikan satu slot wild card dan khusus untuk acara 100m, 800m dan maraton,” kata Shahidan.
Menurutnya lagi, jika Azeem diberi tiket wild card bermakna pelari berasal dari Teluk Intan, Perak itu akan berlari dalam acara utamanya di Paris, manakala jika Shereen dipilih, dia akan berlari dalam acara 100m, iaitu bukan acara kegemarannya.
Mengikut rekod, Shereen mempunyai catatan baik dalam acara 100m, 11.61s yang dilakukan April lalu.
Mengulas lanjut, Shahidan memaklumkan ada satu atau dua perkara yang memerlukan penelitian badan induk itu sebelum memutuskan atlet yang akan dipilih.
“Azeem dan Shereen akan menyertai Sukan Universiti Asean di Surabaya pada 2 Julai ini. Namun, kami tidak menggunakan prestasi mereka di temasya itu untuk membuat pemilihan kerana ia tarikh tutup kelayakan Olimpik adalah pada 30 Jun,” katanya.