JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam Liga Super apabila berjaya mencatat kemenangan ketujuh dari lapan perlawanan membenam PJ City 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim.

Hasrat PJ City untuk melakar kejutan tidak kesampaian meskipun berjaya mengimbangi perlawanan pada 20 minit awal sebelum terpaksa akur dengan kehebatan barisan serangan JDT.

Bergson sekali lagi mencuri tumpuan apabila membuka jaringan JDT pada minit ke-23 selepas menerima hantaran Leandro Velasquez untuk gol ke-12 peribadi dari lapan penampilan di Liga Super.

Berselang tiga minit selepas itu, Fernando Forestieri menggandakan kedudukan JDT menerusi jaringan sepakan percuma yang cantik untuk Harimau Selatan selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan JDT masih mengekalkan penguasaan bola dengan PJ City sesekali melancarkan serangan balas namun digagalkan kemantapan barisan pertahanan JDT.

Akhirnya pada minit ke-65, Bergson sekali lagi menceriakan lebih 10,000 penyokong JDT dengan gol ketiga dan kedua peribadinya selepas menerima hantaran yang baik daripada Arif Aiman dan Forestieri.

Benjamin Mora melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Afiq Fazail untuk memberikan Syafiq Ahmad permulaan semula di JDT dan Safawi Rasid pula masuk menggantikan Arif Aiman sejurus selepas gol itu.

Fernando Forestieri melengkapkan malam gemilang JDT apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-85 selepas JDT mengambil kesempatan kesilapan pertahanan PJ City.

Kemenangan ini meletakkan JDT selesa di takhta Liga Super dengan 22 mata  manakala PJ City kekal di tangga kesembilan dengan sembilan mata.