PELUANG Kedah Darul Aman (KDA) FC layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2022 Zon Asia Tenggara tetap ada jika berjaya menewaskan Visakha FC di Gianyar, Bali pada Khamis.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan antara Bali United seandainya gagal menang ke atas Kaya FC.
Jika tuan rumah menang mengatasi Kaya FC, Kedah juga tetap mara sebagai juara kumpulan dengan perlu meraih jaringan besar 5-0 atas Visakha FC.
Ini bermaksud, Kedah akan menang perbezaan gol di antara pertemuan ketiga pasukan Kumpulan G, tanpa mengira keputusan pertemuan Kaya FC.
Kelab bimbingan Aidil Sharin Sahak itu pada mulanya agak cemas selepas kalah 0-2 kepada Bali United pada saingan pertama. Kekalahan itu jelas membuatkan peluang layak dari Kumpulan G Piala AFC 2022 kelihatan sangat sukar.
Namun harapan kembali terbuka ketika Bali United kalah mengejut 2-5.
Berita kekalahan itu melonjak motivasi dan semangat para pemain Kedah meluap-luap ketika melawan Kaya FC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar.
Seperti kata Aidil dalam sidang media baru-baru ini, ini adalah masa untuk mereka memulihkan kondisi dengan baik dan menantikan pertandingan berikutnya.
Untuk rekod, pemain Sang Kenari yang meledakkan gol ke gawang lawan sepanjang kejohanan ini adalah penyerang import asal Cameroon, Ngah Wanja, Fayadh Zulkifli Amin dan Mahmoud Nayef Almardi.