PENYERANG prolifik, Faisal Halim dijangka mula turun padang kira-kira tiga minggu lagi, selepas pemulihan akibat insiden simbahan asid Mei lalu menunjukkan perubahan positif.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, Faisal bagaimanapun tidak akan terus berlatih menggunakan bola.
“Sejak sidang media tempoh hari (13 Jun), luka dia semakin kering dan amat positif.
“Mungkin dua atau tiga minggu lagi akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola.
“Tahap kecergasannya sekarang di bawah dan rendah, seperti pra musim kerana dua bulan tidak bermain bola langsung, tiada aktiviti fizikal,” kata Johan.
Beliau ditemui ketika mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat Kompleks 3k, di Seksyen 13, Subang Jaya, pagi ini.
Menurutnya, pasukan tidak mahu terburu-buru mendedahkan Faisal kepada latihan bola sepak bagi membendung perkara tidak diingini daripada berlaku.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana takut akan berlaku kecederaan lain pula.
“Walaupun kita tahu dia seorang yang kuat tetapi kita tidak boleh mendedahkannya kepada kecederaan yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Dari segi mental pula, Johan memberitahu yang Faisal bertambah kuat berbanding di awal insiden, dan beliau yakin sebagai seorang pemain bola sepak profesional, Faisal mungkin menjadi pemain yang jauh lebih kuat sebaik dia menjejak kaki di atas padang.
Memetik laporan Selangor Kini semalam, Abdul Halim Saad iaitu bapa kepada Faisal mengesahkan Faisal sudah 95 peratus pulih dan mula menjalani latihan ringan termasuk mengikut sesi fisio.
Dalam pada itu, Johan mengesahkan siasatan kes simbah asid terhadap Faisal itu masih berterusan.
“Kita belum menerima apa-apa maklumat perkembangan siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya yakin polis masih menyiasat dan memanggil beberapa saksi lagi cuma belum menerima perkembangan mengenai hasil siasatan,” ujar Johan.
Untuk rekod, Faisal disimbah asid pada 5 Mei lalu, ketika berada di sekitar pasar raya terkemuka di Kuala Lumpur, menjalani dua kali pembedahan sebelum menampal kulit yang diimport dari Belgium untuk digunakan pada bahagian badannya yang melecur.
Pada 13 Jun lalu, Faisal tampil buat kali pertama dalam sidang media, berkongsi perkembangan tahap kesihatannya.