BEREGU wanita ke-10 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah terus mempamerkan persembahan terbaik apabila mudah menundukkan gandingan dari China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting dengan kemenangan straight set 22-20 21-14.
Bagaimanapun, Thinaah enggan mendabik dada dengan mengatakan perlawanan tersebut sukar namun faktor persefahaman memisahkan antara kedua-dua pasukan.
“Saya rasa ia bukan perlawanan yang mudah. Saya rasa kita faham tentang keadaan gelanggang tetapi kita akan lebih bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Pearly masih tidak berpuas hati meskipun mereka dilihat mudah mengatasi pasangan dari China itu dengan smash kencang dan permainan di jaring yang kemas.
Ditanya tentang lawan selepas ini, dia lebih suka untuk fokus satu perlawanan ke satu perlawanan daripada terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan yang bakal ditentang.
“Kita tidak berapa gembira tentang perlawanan hari ini kerana masih ada ruang yang perlu diperbaiki. Contohnya, faktor angin dan penyesuaian gelanggang perlu kita analisa.
“Kita tidak terlalu fikirkan tentang lawan kita. Kita lebih pentingkan persiapan kita untuk bermain dengan baik setiap perlawanan,” menjawab soalan media setelah perlawanan tamat.