SELANGOR FC tidak mahu terbawa-bawa dengan kekalahan 1-2 pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024-25 sebaliknya sentiasa bersikap positif dan menjadikan aksi di laman sendiri pada Sabtu sebagai medan kebangkitan.
Ketua jurulatih, Nidzam Jamil menyatakan para pemain juga berada dalam keadaan positif dan pasukan sudah belajar dari segala kesilapan yang dilakukan serta mahu kembali berada di landasan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Pemain ambil pendekatan positif kerana masih ada peluang untuk tebus kembali kekalahan. Saya tidak katakan kekalahan tempoh hari sebagai mengejut kerana dalam bola sepak, apabila kalah kita boleh lihat kembali dari sudut persiapan dan minda tetapi apa yang baik ialah, pemain menerimanya dengan baik dan cuba tebus kembali di laman sendiri.
“Mereka juga sedar tekanan dalam kejohanan ini. Kuching City adalah pasukan yang baik selepas mereka singkirkan finalis musim lalu, Kuala Lumpur City dan kini mahu melakar kejutan keatas kami dan ianya kini bergantung kepada kami sama ada mahu membiarkan atau sebaliknya.
“Kita juga sudah melakukan perbincangan dengan semua pemain dan keadaan semuanya terkawal dan tidak sabar untuk aksi timbal balik ini. Kami perlu ambil kesempatan beraksi di laman sendiri, rumput yang lebih baik dan segalanya kini bergantung kepada kami,” katanya.
Nidzam turut menolak dakwaan penyokong yang menyatakan pemain importnya, Alvin Fortes mengalami bebanan kerja yang berlebihan di atas padang dan dia mahu gunakan kekuatan dan skil yang ada pada Fortes untuk meraih kemenangan bersama-sama.
“Alvin tahu apa yang kelab dan penyokong mahukan dari dia. Sebagai pemain berpengalaman dia tidak memberitahu dia terbeban tetapi sebagai pasukan, kami akan sediakan satu pelan untuk mengurangkan bebanan yang mungkin dia hadapi.
“Dia adalah seorang pemain yang mempunyai kekuatan dan skil dan kami akan gunakan kelebihan itu untuk memastikan kedua-dua pihak gembira pada akhirnya,” jelas Nidzam.
Selangor kembali ke Kelana Jaya dalam misi memadam kelebihan satu jaringan Kuching City untuk mencipta kemenangan seterusnya layak ke separuh akhir untuk bertemu sama ada Terengganu FC atau Sabah FC.