PENYERANG Sabah FC, Ramon Machado telah menamatkan kontraknya bersama pasukan itu dengan lebih awal.
Perkara itu disahkan oleh wakil pihak pengurusan Sabah FC, Md Joh Wid menerusi kenyataan yang dikeluarkan di platform media sosial kelab itu.
Difahamkan Ramon Machado terpaksa kembali ke Brazil disebabkan masalah keluarga yang perlu diuruskan.
“Dengan berat hati secara rasminya saya memaklumkan bahawa pemain penyerang Ramon Machado akan menamatkan kontrak bersama Sabah FC.
“Bagi pihak kelab dan seluruh warga Sabah FC, saya mengucapkan jutaan terima kash kepada Ramon atas sumbangan beliau terhadap pasukan yang kita cintai ini.
“Sejak penampilan pertama beliau, Ramon telah berjaya menambat hati penyokong The Rhinos dengan jaringan-jaringan cantik dan ‘assist‘ beliau. Sudah pasti kita akan merindui gerakan pantas dan lincah pemain asal Brazil ini di padang, terutamanya gelanggang keramat Stadium Likas,” katanya.
“Walaubagaimanapun, kita perlu meneruskan perjuangan yang mash banyak tersisa di hadapan. Bola sepak adalah sukan berpasukan. Saya menaruh penuh keyakinan pada semua pemain yang ada untuk terus menggalas tugas membawa cabaran seterusnya.
“Semoga Ramon dan keluarga selamat kembali ke kampung halaman bersama kenangan indah sepanjang berada di bumi di bawah bayu dan terus maju jaya di masa hadapan,” tambahnya lagi.
Sabah FC merupakan antara pasukan yang mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan gaji.