JOHOR Darul Ta’zim (JDT) langsung tidak mempunyai masalah membenam cabaran Malaysian University FT 8-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Harimau Selatan mempamerkan aksi berkelas tinggi sekaligus memberikan pengajaran berguna buat pemain-pemain muda Malaysian University yang mendapat peluang bersaing dengan barisan bintang JDT.
Selepas aksi suku akhir pertama minggu lalu berakhir dengan keputusan 5-0, Hector Bidoglio mengambil keputusan untuk menurunkan barisan terbaik yang menyebabkan Harimau Selatan menguasai sebahagian besar permainan.
Meskipun menguasai permainan, JDT terpaksa menunggu hingga minit ke-20 perlawanan sebelum Juan Muniz sekali lagi menjaringkan gol dari jarak jauh sebelum pesta gol bermula.
Heberty Fernandes menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit sebelum Feroz Baharudin menjaringkan gol keempat untuk JDT selesa mendahului empat gol dan sembilan gol secara aggregat.
Bersambung babak kedua, Bidoglio melakukan pertukaran dengan memasukkan Bergson Da Silva, Shahrul Saad dan Daryl Syam sekaligus menambah tekanan buat pasukan kendalian Ridzuan Abu Shah.
Francisco Geraldes menambah gol kelima JDT dan gol keempatnya dalam Piala FA sebelum dua gol Romel Morales dan satu jaringan dari Bergson Da Silva melengkapkan kemenangan mudah 8-0 di hadapan hampir tujuh ribu penyokong yang hadir ke stadium.
Kemenangan itu melengkapkan aggregat 13-0 sekaligus menyaksikan JDT menempah tempat ke separuh akhir dan menanti pemenang antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC.