PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tiada niat untuk mencatat kemenangan besar ke atas Malaysian University FC walaupun membelasah pasukan Liga A1 Semi-Pro itu 8-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio menegaskan penampilan Harimau Selatan dalam perlawanan itu yang menyaksikan mereka layak ke separuh dengan agregat 13-0 adalah untuk menyediakan pasukan dan memberi fokus dengan permainan berintensiti tinggi.

Tegasnya, kemenangan 8-0 itu hasil daripada corak memberi tekanan terhadap skuad kendalian Ridzuan Abu Shah dengan membuka ruang menerusi gerakan dari tengah dan posisi sayap kiri dan kanan serta umpanan bola pendek.

Hector Bidoglio sentiasa menyediakan skuad terbaik dalam apa jua keadaan

“Tiada sasaran untuk menang besar tetapi memang kita mahu menang dan lapan gol yang diperolehi adalah hasil kombinasi berpasukan yang bergerak dengan taktikal yang dibentuk sepanjang latihan pemain dapat menterjemahkan dalam permainan.

“Pemain juga tahu untuk menyelesaikan cara permainan berkampung pasukan lawan dan kami menggerak bola di setiap sudut bermula dari pertahanan ke tengah dan juga menyerang dari posisi sayap.

“Saya turunkan barisan terbaik kerana pemain mahu buktikan mereka bersedia mempamerkan corak permainan yang saya inginkan dan ia satu perkembangan positif untuk pasukan terutama untuk kami bersedia bagi perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Arif Aiman kembali mendapat keyakinan dalam permainan selepas pulih dari kecederaan

Mengulas persembahan Arif Aiman Hanapi yang mula menunjukkan peningkatan selepas pulih daripada kecederaan, Bidoglio menegaskan pemain itu sudah mula mendapat keyakinan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Arif sudah mula tunjuk keyakinan apabila kerap membantu dalam aspek serangan dan dia akan berada di tahap permainan yang lebih pada perlawanan seterusnya namun saya enggan komen mengenai individu sebaliknya kami bermain berpasukan,” ujarnya.

JDT akan berdepan Kedah dalam aksi separuh akhir, namun Bidoglio itu menganggap setiap pasukan yang bakal dihadapi adalah sukar dan persiapan rapi perlu dilakukan dan aksi menentang Sabah FC pada 13 Julai bakal menjadi medan buat mereka meningkatkan lagi kualiti permainan setiap pemain.