SKUAD hoki lelaki negara meraih pengalaman berguna menjelang perlawanan ujian menentang Jerman dalam siri perlawanan persahabatan Jelajah Eropah, esok, selepas meraih kemenangan kedua ke atas Belgium B.
Kemenangan 3-2 pada pertemuan ketiga antara kedua-dua pasukan itu menyaksikan dua tonggak berpengalaman Faizal Saari dan Fitri Saari menjadi kunci untuk menjaringkan gol.
Selepas tiga perlawanan menentang Belgium B, Faizal menjaringkan lima gol, Fitri dua manakala Azrai Aizad Abu Kamal satu gol.
“Permulaan yang baik apda perlawanan ketiga apabila pasukan berjaya mendahului 3-0 tetapi kita juga melakukan rombakan di beberapa posisi dengan meletakkan Marhan Jalil di bahagian midfield kiri.
“Secara keseluruhan tiga perlawanan yang dilalui menjadi pengalaman yang baik ketika menentang Belgium B, yang membariskan pemain yang beraksi di Liga Pro.
“Pemain kita layak dipuji kerana berjaya mengimbangi kekuatan Belgium B,” kata ketua jurulatih, Sarjit Singh.
Pada perlawanan itu, Faizal terus menjadi peledak berbisa negara apabila menjaringkan dua gol padang pada minit pertama dan 16, manakala gol ketiga dijaringkan Fitri, juga menerusi gol padang pada minit ke-29.
“Menentang Jerman nanti, pasukan berharap dapat membuat penambahbaikan beberapa perkara seperti struktur bertahan, klinikal di hadapan gol lawan dan meningkatkan kekuatan bertahan ketika pukulan sudut.”
Selain menentang Jerman, satu lagi perlawanan persahabatan akan dilangsungkan menentang kelab Mochenglabach pada Selasa.