PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kecewa dengan ketumpulan bahagian serangan pasukan itu ketika perlawanan aksi suku akhir kedua Piala FA semalam.

Gandingan Jafri Firdaus Chew, S.Kumaahran dan Ramon Machado yang bakal meninggalkan pasukan itu, gagal untuk memberikan apa-apa impak.

Beliau menyifatkan penyudah tumpul menggagalkan usaha Sabah untuk mendapatkan keputusan yang bermakna dalam aksi berkenaan.

Jafri Firdaus Chew antara individu yang memegang peranan untuk bermain dalam bahagian serangan pasukan Sabah FC. (Sumber Gambar: Sabah FC)

“Kita gagal menyempurnakan peluang tetapi Terengganu menyempurnakan peluang dengan agak mudah. Jadi, dua gol pada separuh masa pertama telah memadamkan apa yang kita inginkan.

“Dan kita harus mempersalahkan diri sendiri di mana saya percaya peluang-peluang yang kita cipta lebih banyak daripada Terengganu punyai. Mereka lebih tajam di depan gol.

“Dan pada separuh masa, sudah tentu berbeza di mana kita dibolosi lagi oleh satu gol mudah di mana kesilapan kita sendiri,” katanya selepas perlawanan.

Perlawanan semalam merupakan penampilan terakhir Ramon Machado bersama pasukan Borneo itu. (Sumber Gambar: Sabah FC)

Dalam perlawanan semalam, Terengganu FC menambah lagi tiga gol menerusi Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Marin Pilj sekali gus mengesahkan kemaraan pasukan Penyu ke separuh akhir dengan keputusan agregat 7-0.

Sabah akan bertemu Johor Darul Ta’zim dalam aksi Liga Super pada 13 Julai ini di Stadium Likas.