CHELSEA mengalahkan Crystal Palace 2-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA 2021/22 yang berlangsung di Wembley, lewat pagi Isnin.
Kemenangan itu mengubat kesedihan di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah setelah tersingkir di tangan Real Madrid walaupun berjaya bangkit mengatasi defisit 3-1 sebelum tewas dalam masa tambahan.
Bagaimanapun, laluan Chelsea tidak mudah apabila gagal membolosi gawang Crystal pada 45 minit pertama permainan. Gol hanya hadir pada babak berikutnya menerusi jaringan Ruben Loftus-Cheek dan Mason Mount.
“Sedikit aneh kerana kami meraih keputusan luar biasa di Madrid dan tidak dapat layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Kami tersingkir ketika ingin bertahan di sana, emosi para pemain bercampur aduk. Tapi, perlawanan penting hari ini membantu kami mendekati sasaran meraih trofi.
“Bukan sekadar kumpul mata, tapi berjuang meraih sesuatu yang dapat membantu para pemain,” ujar Thomas Tuchel selaku pengurus Chelsea kepada talkSPORT.
The Blues akan menentang Liverpool yang sebelum itu menyingkirkan Manchester City 3-2. Untuk rekod, ini adalah kali ketiga berturut-turut mereka bermain di final Piala FA.
Cumanya, Chelsea gagal menjadi juara apabila kalah 0-1 kepada Leicester City musim lalu dan pada 2019/2020 kecundang 1-2 ketika bertemu Arsenal.