PELUMBA pasukan AMG Mercedes Petronas, Lewis Hamilton tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya selepas kembali menaiki tangga teratas podium sejak 2021 dalam dramatik Grand Prix British di Litar Silverstone pada Ahad.
Hamilton mengekori rapat rakan sepasukannnya, George Russell pada awal perlumbaan sebelum aksi bertukar dramatik ekoran hujan yang menyaksikan pelumba terpaksa menukar tayar sebanyak dua kali.
Panggilan strategi yang tepat untuk menukar tayar satu pusingan lebih awal dari pelumba McLaren, Lando Norris yang mendahului ketika hujan menyaksikan Hamilton mendahului dan tidak melepaskan kelebihan untuk muncul juara di hadapan penyokong sendiri.
Kemenangan itu bukan sahaja menjadi yang pertama buat Hamilton sejak Grand Prix Arab Saudi pada November 2021 tetapi juga mencipta rekod kemenangan kesembilan di satu litar mengatasi rekod Michael Schumacher.
“Saya tidak boleh berhenti menangis. Sejak 2021, setiap hari saya bangun cuba untuk berikan saingan, berlatih, fokus kepada tugas dan bekerja keras dengan pasukan yang hebat ini.
“Ini adalah perlumbaan terakhir saya di Grand Prix British bersama Mercedes jadi saya benar-benar mahukan kemenangan ini kerana saya terlalu sayang dan hargai pasukan. Ini adalah bukti kerja keras kami selama ini.
“Saya sentiasa bersyukur kepada setiap individu dalam pasukan ini termasuk rakan strategik dan tidak boleh dilupakan semua penyokong yang hadir. Saya dapat melihat mereka pada setiap pusingan dan tidak ada perasaan dapat gambarkan kegembiraan menang di hadapan mereka,” katanya selepas perlumbaan.
Ini juga adalah kemenangan kedua berturut-turut Mercedes selepas George Russell muncul juara Grand Prix Austria minggu lalu selepas pendahulu, Max Verstappen dan Lando Norris berlanggar sesama sendiri.
Namun begitu nasib tidak menyebelahi Russell yang bermula di petak pertama selepas terkeluar dari perlumbaan selepas pasukan mengesan ada masalah pada sistem air pada jenteranya.