MISI Selangor FC dalam Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 (ACL2) hanya akan bermula pada 17 September 2024 namun mereka sudah boleh mula mencongak siapakah lawan yang bakal menjadi pesaing dalam peringkat kumpulan.
Ini selepas kesemua 16 pasukan Zon Timur sudah mengesahkan tempat masing-masing dalam kejohanan tier kedua bola sepak kelab Asia yang ditambah baik dari kejohanan lama, Piala AFC.
Menerusi kemas kini dari laman Footy Rankings pada 7 Julai 2024, Selangor FC yang juga wakil tunggal Malaysia di kejohanan ini akan bersaing dengan kelab-kelab dari Jepun, Republik Korea, China, Thailand, Australia, Vietnam, Hong Kong, Filipina, Singapura dan Indonesia.
16 pasukan yang sudah mengesahkan tempat adalah Sanfrecce Hiroshima, Jeonbuk Hyundai Motors, Zhejiang FC dan pemenang kelayakan antara Shandong Taishan dan Bangkok United yang akan mengisi Balang 1 ketika sesi undian rasmi.
Balang 2 pula akan menyaksikan Port FC, Sydney FC dan Nam Dinh yang akan disertai Selangor FC manakala Balang 3 akan diwakili Lee Man, Kaya Iloilo, Lion City Sailors dan Persib Bandung.
Pasukan-pasukan yang diletakkan dalam Balang 4 pula adalah Thanh Hoa, Eastern FC, Dynamic Herb Cebu dan Tampines Rovers untuk membentuk empat kumpulan (E hingga H).
Setiap kumpulan akan mempunyai empat pasukan dengan dua pasukan teratas bakal layak ke pusingan 16 selepas melengkapkan enam perlawanan yang berlangsung dengan format ‘home and away’ menawarkan 18 mata maksimum.
Bukan sahaja pasukan, para penyokong Gergasi Merah juga sudah mula boleh mencongak negara manakah yang bakal mereka gegarkan dengan Mentaliti Juara bagi menjadi pemain ke-12 di belakang para pemain.
16 pasukan lagi akan diundi dalam empat kumpulan (A hingga D) yang dibarisi kelab-kelab dari Asia Barat mewakili Arab Saudi, Qatar, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan, Iraq, Jordan, Tajikistan, India, Bahrain, Kuwait dan Turkmenistan.
Majlis undian rasmi akan berlangsung pada 16 Ogos 2024 di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur sebelum aksi peringkat kumpulan bermula dari 17 September hingga 5 Disember 2024.