KEJAYAAN meraih dua pingat emas pada Piala Dunia Sepaktakraw Mei lalu, barisan pemain negara tidak boleh terlalu selesa bukan hanya kerana Thailand akan kembali ‘merajai’ sukan itu, malah perlu waspada kepada kebangkitan Indonesia dan Korea Selatan.

Dua pasukan itu dilihat meningkat naik dengan prestasi yang yang boleh mengancam kedudukan Malaysia.

Tekong muda negara, Muhammad Haziq Hairul Nizam berkata, tidak mustahil dua negara terbabit mampu menjadi ancaman kepada Malaysia dan Thailand.

Muhammad Haziq Hairul Nizam, tekong muda negara yang berbakat.

“Dua pasukan atau negara iaitu Korea Selatan dan Indonesia, perlu kita berjaga-jaga. Bila kita bertemu pasukan lain pula, kita tidak boleh ambil mudah dan kena berikan yang dalam setiap perlawanan.

“Korea Selatan dan Indonesia sudah mula ambil jurulatih Thailand untuk memperkuatkan pasukan dan kita perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Sambil menyifatkan sukar untuk menggugat dominasi Thailand, Haziq menganggap negara Gajah Perang itu mempunyai ramai pemain berbakat yang mampu memenangi setiap kejohanan, namun hanya ketenangan mampu membawa pasukan lain untuk memecah kekebalan regu dari negara itu.

Barisan pemain Korea Selatan mempamerkan prestasi yang sangat baik pada Piala Dunia lalu.

“Saya rasa untuk skuad kebangsaan ini, regu kita perlu menjalani latihan yang lebih kuat untuk dapatkan keserasian sebab nak dapatkan regu kuat itu susah dan bila bertemu Thailand, kita kena tenang dan sabar serta bila main buat macam biasa.

“Berdepan Thailand, sesiapapun perlu bermain dengan tenang tanpa tekanan kerana nothing to loose, kalau menang bonus, kalah biasa. Kita kena main tanpa tekanan bila jumpa mereka,” katanya.

Pada Piala Dunia Sepaktakraw 2024 di Kuala Lumpur Mei lalu, Malaysia muncul juara dalam kategori regu dan double. Lebih manis ia hadir dengan menewaskan gergasi sukan itu, Thailand.