KEMENANGAN dramatik dengan sembilan pemain untuk mara ke separuh akhir Piala FA jelas melonjakkan keyakinan barisan pemain Selangor FC.

Itu diakui sendiri penyerang Gergasi Merah, Ronnie Fernandez yang percaya mereka boleh memenangi sesuatu musim ini dengan mentaliti yang dimiliki para pemain.

“Kami mahu menjadi juara, kami berjuang, kami berlatih untuk menjadi yang terbaik. Kami berusaha untuk meningkatkan prestasi pada setiap perlawanan.

“Kami tahu ia bukan mudah buat kami kerana semua pasukan mahu mengalahkan kami tapi jika kami dapat meneruskan apa yang kami lakukan seperti ini, kami boleh memenangi sesuatu tahun ini, kami sudah ada mentaliti itu,” katanya.

May be an image of 6 people, people playing football, people playing American football and text

Selangor mara ke separuh akhir Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 ke atas Kuching City FC selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 4-4 sebaik tamat masa sebenar perlawanan suku akhir kedua yang menyaksikan Selangor menewaskan Kuching City 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Kejayaan itu membolehkan mereka membuat perhitungan dengan Terengganu FC pada aksi separuh akhir yang dijadual selepas pasukan gergasi Pantai Timur itu menyingkirkan Sabah FC menerusi agregat 7-0.

Bertemu Terengganu, Selangor terpaksa melupakan khidmat Yohandry Jose Orozo dan Reziq Mohamed Saleh Banihani apabila dua pemain import itu dilayangkan kad merah dalam aksi menentang Kuching City.

Bagi Fernandez, dia percaya ketiadaan dua tonggak itu tidak akan menggangu perancangan Selangor.

“Kami mempunyai sasaran, kami berjaya berjuang dengan sembilan pemain. Kami akan memberikan yang terbaik dan semua pemain yang ada dalam pasukan akan sedia membantu. Kami akan bersedia untuk perlawanan selepas ini,” katanya.