CHEF de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menasihatkan para atlet agar menitikberatkan soal kesihatan kerana temasya itu akan berlangsung kurang tiga minggu lagi.
Pada masa yang sama, Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut berpesan agar semua atlet berhati-hati semasa menjalani latihan supaya tidak cedera sebelum terbang ke Paris.
Nasihat itu dibuat susulan kemalangan yang menimpa atlet berbasikal jalan raya, Nur Aisyah Mohd Zubir ketika beraksi dalam satu perlumbaan di Belgium, baru-baru ini.
“Kalau kita lihat sebelum pertandingan, atlet ini ingin memberikan yang terbaik, sebelum kejohanan bermula di Olimpik. Jadi, mereka memberikan komitmen yang tinggi, sama juga seperti atlet lain
“Kecederaan kadang-kadang tidak dapat dielakkan, tetapi nasihat saya kepada atlet, kita ada 17 hari lagi dan kita harap mereka dapat menjaga kesihatan ataupun berhati-hati sikit dalam latihan sebelum bermulanya Olimpik.
“Kalau tidak nanti kita kerugian pula, sebelum kejohanan bermula dan kita tak dapat bermain, jadi, mereka perlu lebih berhati-hati untuk kali ini,” tambahnya lagi,” katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman Penaja Bagasi Rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Terdahulu, menurut laporan media tempatan, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Nur Aisyah terlibat dalam satu kemalangan sekitar pertengahan bulan lalu tetapi telah pulih sepenuhnya dan telah menyertai beberapa siri perlumbaan di sana.
Hamidin turut menjangkakan bilangan 26 orang atlet yang akan membawa nama negara ke Sukan Olimpik bermula 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 sebagai muktamad dan tidak akan ada lagi penambahan atlet.