SEJARAH tercipta buat pasukan JDT Racing Team apabila menerima penyertaan ‘wildcard’ untuk bersaing di Kejohanan Superbike World Championship (WSBK) di Portugal pada Ogos sekaligus menjadi pasukan Malaysia pertama bersaing di kejuaraan itu.

Perkara ini disahkan sendiri menerusi hantaran di laman sosial rasmi pasukan selain turut dikongsi oleh laman sosial rasmi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Selasa.

Pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah mendapat tiket wildcard dari FIM dan akan menunggang jentera Ducati Panigale V4R dengan liveries JDT serta mendapat sokongan teknikal daripada pasukan Ducati Factory.

“Pasukan JDT Racing Team mencipta sejarah baharu dunia permotoran negara apabila diberikan tiket ‘wild card’ untuk menyertai Kejohanan Superbike World Championship (WSBK) di Litar Portimao, Portugal dari 9 hingga 11 Ogos 2024.

“Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah akan berlumba menggunakan jentera Ducati Panigale V4R yang mempunyai spesifikasi sama seperti jentera milik penyandang juara dunia, Alvaro Bautista.

“JDT Racing Team juga akan mendapat bantuan pasukan teknikal daripada Ducati Factory dan akan menggunakan ‘liveries’ JDT pada perlumbaan tersebut,” jelas kenyataan rasmi itu.

Prinsipal Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan

Prinsipal pasukan, Steven Tan ketika dihubungi FLASH SUKAN berbangga kerana JDT Racing Team telah mendapat perhatian dunia meskipun baru tahun pertama menyertai bidang perlumbaan dan membuktikan kukuhnya jenama JDT di persada sukan dunia.

“Ianya satu penghargaan buat kami apabila mendapat sokongan daripada Ducati Factory kerana kami adalah pasukan baharu tetapi seperti kita semua tahu, ini kekuatan jenama JDT.

“Ducati Factory juga akan menyediakan krew teknikal mereka dan JDT Racing Team berbesar hati apabila akan terus mendapat sokongan dari Ducati Asia dan Ducati Malaysia untuk baki perlumbaan di Asia Road Racing Championship 2024,” jelasnya bangga.

Hafizh bakal berlumba di Kejuaraan Superbike World Championship 2024 di Portugal

Hafizh Syahrin akan berkongsi litar dengan penyandang juara, Alvaro Bautista serta pendahulu keseluruhan ketika ini, Toprak Razgatlioglu dari Turkiye yang menunggang jentera BMW.