BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mendedahkan perkara sebenar mengenai isu tunggakan gaji yang semakin tular apabila Paulo Josue kembali bersuara mengenai masalah demikian.
Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutan berkata, bayaran gaji tertunggak bagi bulan Oktober, November dan Disember telah dilunaskan kepada pemain setelah melepaskan jawatannya sebagai Presiden KLFA Mac lalu.
Menurutnya, permainan ‘politik’ di dalam pengurusan bola sepak Kuala Lumpur telah membuatkan beliau terpaksa meletakkan jawatannya demi melihat pasukan yang pernah berada di bawah naungannya itu meraih keadilan sebagai seorang pemain bola sepak.
“Seperti sedia maklum, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat penukaran jadual Liga Malaysia musim ini maka tiga bulan terawal, tiada perlawanan atau latihan.
“Keadaan ini mencabar dan merumitkan keadaan untuk membayar gaji para pemain yang tertunggak pada tiga bulan terakhir tahun lalu dimana kita telah mendapat amaran daripada MFL.
“Untuk dirumuskan, pada ketika itu saya juga dapat maklumat bahawa duit tidak akan diberi selagi mana saya menjadi Presiden. Oleh itu, saya letak jawatan pada Mac lalu untuk memastikan gaji pemain masuk dan lesen KL City tidak ditarik balik.
“Selepas itu, duit sebanyak RM 3 juta diberi untuk selesaikan masalah gaji tertunggak 2023. Namun, sekarang satu sen tidak dapat lagi kerana seseorang yang diingini itu menjadi Presiden masih belum naik,” kata Khalid ketika ditemui di sesi sidang media pada Rabu.
Difahamkan bahawa hal politik dalaman seperti yang dikatakan telah menjadi punca utama yang mengganggu kestabilan ekonomi dan sebagainya dalam kelab KL City.
Oleh itu, KL City yang pernah merangkul gelaran Piala Malaysia 2021 kini menanggung barah tunggakan gaji semula selama tiga bulan iaitu bermula April 2024.
Tiada masalah gaji yang sepatutnya berlaku pada Januari Februari dan Mac kerana itu merupakan tempoh di luar musim liga.