PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menyifatkan kurang keyakinan dalam kalangan penyerang untuk menjaringkan gol merupakan antara faktor mengapa pasukannya bergelut selepas mengharungi empat perlawanan.

Pasukan Tok Gajah hanya menjaringkan empat gol daripada empat perlawanan, termasuk perlawanan Piala FA.

Beliau berkata situasi itu menyebabkan skuadnya tidak mendapat keputusan yang meyakinkan untuk meletakkan Sri Pahang pada prestasi yang optimum.

Kpah Sherman masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol musim ini

“Pemain agak kurang yakin kerana peluang memang ada tetapi penyudah tidak tepat menyebabkan Sri Pahang tidak dapat memberi tekanan kepada lawan.

“Atas faktor itu tempoh tiga minggu tanpa perlawanan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan jentera serangan lebih padu pada perlawanan akan datang,” katanya.

Beliau juga turut mengakui bahawa tempoh rehat panjang sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan anak buahnya apabila kembali beraksi pada hujung minggu ini.

“Sudah pasti ia mengganggu terutama tempoh panjang tanpa perlawanan yang memerlukan semua pemain bekerja keras untuk pasukan memberikan persembahan meyakinkan apabila kembali beraksi Sabtu ini.

“Perlawanan terakhir ialah ketika tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 Jun lalu dan Sri Pahang perlu kekal cergas,” ujarnya lagi.

Selepas tiga perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengutip empat mata.

Bagi perlawanan keempat liga, skuad Tok Gajah akan berhadapan dengan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sabtu ini.