PASUKAN Sabah FC berdepan situasi kritikal untuk bangkit daripada prestasi hambar susulan dihimpit isu dalam dan luar padang.

Selepas tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas menerusi agregat 7-0 kepada Terengganu FC di peringkat suku akhir, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berdepan satu lagi tugas sukar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi Liga Super di Stadium Likas, Sabtu ini.

Lebih sukar apabila Sabah kehilangan khidmat penyerang Ramon Machado yang membuat keputusan menamatkan kontrak awal selain mereka turut berdepan tekanan daripada penyokong yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan susulan keputusan buruk musim ini.

Jafri Firdaus Chew ketika aksi suku akhir kedua Piala FA hujung minggu lalu

Bagi tonggak Sabah, Muhammad Jafri Firdaus Chew, dia mengakui pasukan perlu segera bangkit untuk memberikan aksi lebih baik berdepan pendahulu liga, JDT di laman sendiri.

“Kami kena perbaiki kelemahan, lepas ini akan bertemu JDT, satu perlawanan yang sukar buat kami. Kami kena perbaiki segala apa yang kurang dalam pasukan. Kekalahan kepada Terengganu adalah pengajaran buat kami,” katanya.

Aksi menentang Terengganu pada suku akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu yang menyaksikan Sabah tewas 3-0 adalah penampilan terakhir Machado di Likas.

Ramon Machado tidak lagi bersama pasukan The Rhinos untuk baki aksi Liga Malaysia 2024/25

Pemain import Brazil itu menyumbat 14 gol dalam 21 perlawanan di semua kejohanan musim lalu dan empat gol dalam lima perlawanan Liga Super dan Piala FA tahun ini.

Jafri menelan hakikat bahawa ketiadaan rakan sepasukannya itu pasti dirasai khususnya di bahagian serangan Sabah.

“Kami merasai kehilangan Ramon, dia tonggak pasukan di bahagian serangan. Dia banyak cipta serangan, buat gerakan-gerakan di bahagian atas.

“Selepas Ramon pergi mungkin kami perlu cari pemain yang boleh menggantikan tempatnya,” katanya.