REKOD empat kekalahan berturut-turut yang menimpa kelab Machan FC memaksa pihak pengurusan untuk merehatkan Ketua Jurulatih, S.Balachandran untuk baki saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-25.

Skuad yang berpangkalan di Sarawak itu tewas 0-3 kepada Malaysian University pada Selasa sekaligus menghuni tangga terbawah liga tanpa sebarang mata sejak permulaan liga Mei lalu.

Machan FC juga menjadi pasukan pertama musim ini yang merehatkan khidmat ketua jurulatih dalam mana-mana liga yang berlangsung di Malaysia dan perkara ini disahkan menerusi siaran media oleh presiden, Azizi Fauzi menerusi laman sosial rasmi kelab.

Presiden Machan FC, Azizi Fauzi

“Pihak pengurusan tertinggi Machan FC mengambil maklum diatas keputusan yang tidak memihak kepada pasukan Machan FC dalam empat perlawanan sebelum ini.

“Adalah dimaklumkan, pihak pengurusan akan merehatkan ketua jurulatih Machan FC Coach Balachandran. Terima kasih kepada Coach Balachandran di atas tunjuk ajar dan khidmat kepada pasukan Machan FC.

“Selaku presiden Pasukan Machan FC, saya meminta maaf di atas keputusan empat perlawanan sebelum ini. Matlamat kita adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pemain tempatan beraksi di peringkat tertinggi namun ia bukan alasan untuk kita terus gagal.

Balachandran (kanan) menjadi jurulatih pertama direhatkan musim ini

“Beri kami dan barisan jurulatih yang sedia ada peluang untuk membaiki segala kelemahan dan jawatan ketua jurulatih akan dipangku oleh Coach Edward dan dibantu oleh kembar sari, Coach Ramos dan Ramles Sari,” tulis kenyataan itu.

Sementara itu Machan FC ingin melakukan perubahan gelanggang bagi mengharungi baki perlawanan liga dengan pihak pengurusan sedang dalam proses memohon pertukaran gelanggang daripada Stadium Negeri di Kuching kepada Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu.

Machan FC akan menjadi tuan rumah buat pendahulu liga, Kuala Lumpur Rovers pada Sabtu dan berharap dapat mengutip mata pertama musim ini di laman sendiri.