SKUAD Negeri Sembilan FC sedar hanya keputusan positif yang mereka perlukan apabila berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh untuk berdepan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super 2024-25 pada Sabtu.
Pengendali pasukan, Azzmi Aziz turut mengakui pasukannya kini berada dalam tekanan yang tinggi selepas gagal mencapai kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini namun mereka masih bersikap positif untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
Cuti rehat tiga minggu juga digunakan sebaiknya oleh Azzmi dan barisan kejurulatihan untuk menjelaskan kesilapan-kesilapan individu yang sering terjadi ketika permainan dan pemain sedar akan perkara ini.
“Persiapan berjalan lancar selepas ada tiga minggu rehat. Suasana pasukan agak tertekan ketika itu dan pemain diberikan cuti tiga hari dan mereka bersikap positif selepas kembali ke kem latihan.
“Segala persiapan yang dirancang menjadi termasuk satu perlawanan persahabatan menentang Gombak FC dan apa yang penting semua pemain bebas dari kecederaan dan pemain sedar dengan keadaan terkini pasukan.
“Para pemain juga positif untuk dapatkan prestasi positif terlebih dahulu dan sedar peranan masing-masing serta sudah perbaiki kesilapan individu. Pasukan juga masih bersatu dan dalam keadaan harmoni sekaligus kami yakin dapat keputusan positif di Temerloh,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Perkara ini turut dipersetujui ketua pasukan, Nasrullah Haniff yang bertekad untuk memperbaiki persembahan keseluruhan pasukan berbanding perlawanan sebelum ini.
“Saya dan rakan-rakan sepasukan harus berusaha lebih keras bagi mendapatkan mata pertama. Tiada alasan lain yang boleh diberikan kecuali memberikan yang terbaik buat pasukan dan penyokong,” katanya.
Negeri Sembilan kini di tangga terbawah Liga Super selepas tewas kesemua permainan dan hanya mampu menjaringkan satu gol dan Sri Pahang akan dijadikan medan kebangkitan Skuad Jang musim ini.