GARETH Southgate berjaya memacu England ke final Euro 2024. Bekas pertahanan Chelsea, Wayne Bridge percaya Southgate masih layak memimpin England dalam Piala Dunia 2026 sekiranya berjaya menjuarai Euro.

England berjaya mara ke final Euro 2024 selepas menewaskan Belanda dalam pertemuan separuh akhir dengan jaringan 2-1.

Dalam perlawanan itu, England ketinggalan menerusi jaringan pantas Xavi Simons. Bagaimanapun, skuad Three Lions mampu mengubah keadaan hasil sepakan penalti Harry Kane dan gol Ollie Watkins.

Seterusnya England akan menentang Sepanyol dalam perlawanan akhir Euro 2024 di Olympiastadion, Berlin awal pagi Isnin.

Kontrak Southgate bersama England akan tamat pada Disember 2024. Bagaimanapun, Bridge percaya Southgate masih layak mengetuai England dalam Piala Dunia 2026 sekiranya berjaya memenangi Euro 2024.

Southgate, dulu dicemuh kini dijulang bak wira.

“Saya rasa dia layak menerimanya. Akhirnya, semuanya bergantung kepada sama ada mereka menang atau tidak.

“Dia telah menerima banyak kritikan dan cemuhan, tetapi kini mereka berada di final, semua orang akan menyokongnya dan mengatakan betapa hebatnya dia.

“Semuanya bergantung pada perasaan dia sebenarnya dan jika dia menang dan memutuskan untuk pergi maka ia akan menjadi sedih, tetapi dia pergi dengan gembira.

“Dia mungkin tidak pasti tentang apa yang dia mahu lakukan seterusnya, tetapi saya ingin melihat dia kekal dan membawa pasukan ke Piala Dunia jika dia memenangi Euro. Dia mungkin yakin dia boleh memenanginya juga,” kata Bridge kepada Betfred.

 

Sepanyol beraksi cemerlang di Euro 2024 dan menyingkirkan Perancis untuk mara ke final. Bridge percaya England mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan akhir.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan saya tahu Sepanyol adalah pasukan yang hebat, tetapi saya pasti kami akan bersaing dengan mereka,” sambungnya.

“Saya harap ia akan menjadi persembahan hebat daripada Gareth dari segi pertukaran dan mereka akan menang untuk England. Saya mahu Cole Palmer masuk dan menjaringkan gol kerana saya telah menyokongnya untuk menjaringkan satu gol sepanjang kejohanan.

“Ia akan menjadi sukar dan saya harap kami boleh memenanginya.”