KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menekankan walaupun keputusan perlawanan terkini nampak bagus, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam pasukan.

Meskipun anak buahnya berjaya meraih kemenangan selesa ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC, dia tetap memandang serius terhadap kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan prestasi yang konsisten dan mantap.

Ini kerana, Kedah akan berhadapan ujian lebih getir pada separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini.

“Untuk keputusan  memang nampak bagus. Namun, dari segi pertahanan, kita perlu memperbaiki kelemahan dan mengurangkan jumlah gol yang bolos.

“Walaupun Kedah tidak membenarkan sebarang gol bolos dalam perlawanan tersebut, lawan masih mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol

“Kemenangan itu amat penting dan amat berharga kerana kita tahu kita kena meneruskan momentum perlawanan. Untuk legasi, kita perlu menang setelah tewas sebelum ini. Kita mengejar kelompok atas dan perlu menang bermain di tempat sendiri,” kata Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan di Alor Setar.

 

Nafuzi Zain mahu mantapkan lagi skuad Kedah dalam mengharungi aksi akan datang.

Pada aksi Liga Super menentang KDN FC semalam, Kedah berjaya mengukir kemenangan 3-0 hasil jaringan Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, dan Sony Norde.

Milos Gordic, yang beraksi sebagai penyerang utama, turut menyumbang satu bantuan gol untuk jaringan Sony Norde.

Untuk aksi seterusnya, Kedah bakal bertemupenyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan separuh akhir pertama Piala FA yang dijadualkan pada berlangsung 19 Julai ini di Stadium Darul Aman.