PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah pasukan daripada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Matrix 2024, akan menyertai saingan Piala Agong, yang dijadual berlangsung pada November depan.

Kejohanan Kebangsaan Piala Matrix menjadi sebuah kejohanan unik buat komuniti kebangsaan yang mengehadkan penyertaan kepada pemain bukan berketurunan Tionghua, dalam usaha MABA mempopularkan sukan bola keranjang dalam kalangan bangsa lain.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock optimis usaha mempopularkan bola keranjang dalam kalangan masyarakat bukan berbangsa Cina akan berjaya meskipun memakan masa yang lama.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, MABA berusaha memperluas pencarian bakat serta mahukan talent pool yang besar dan tidak mahu bergantung kepada sumber pemain berketurunan Tionghua.

“Memang sukar tetapi dengan rekod baharu penyertaan pasukan terbanyak kali ini, kami berharap bola keranjang betul-betul semakin diminati bangsa lain terutamanya Melayu dan India.

“Malah, saya harap antara pasukan yang bertanding pada Piala Matrix ini nanti, akan ada yang beraksi pada Kejohanan Kebangsaan Piala Agong September nanti,” kata Tian Hock, selepas majlis undian Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong, di Kuala Lumpur.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock mencabut undian kumpulan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Matrix 2024.

Tian Hock amat berharap sikap pemain bumiputera dalam saingan Piala Matrix kali ini betul-betul serius dengan sukan bola keranjang.

“Berdasarkan edisi-edisi lalu, saya boleh anggap pemain hanya menumpu perhatian kepada kejohanan ini saja, selepas itu melupakan bola keranjang.

“Kita harap mereka serius menjadikan sukan ini kerjaya yang menjamin masa depan seperti sukan lain.

“Jadi, kita di MABA akan berusaha lebih gigih mengatur aktiviti-aktiviti dan kejohanan di peringkat negeri… mungkin kita akan membawa jurulatih dari peringkat nasional ke negeri-negeri, menyediakan klinik bola keranjang di sekolah atau komuniti.

“Usaha ini tidak mudah, kerana untuk menjadikan sukan ini satu budaya dalam kalangan golongan bumiputera mungkin hanya akan mendapat hasilnya pada 15 tahun akan datang,” ujar Tian Hock lagi.

Barisan penaja yang menyokong penganjuran Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Matrix 2024.

Dalam pada itu, selepas menerima penyertaan lapan pasukan pada 2019, penyertaan dalam Piala Matrix mempamerkan peningkatan, apabila 10 pasukan bertanding pada 2022 manakala 12 pasukan pada tahun lalu.

Tahun ini, meskipun Melaka menarik diri daripada terlibat dengan kejohanan anjuran MABA, mereka menerima pertambahan tiga pasukan baharu iaitu Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur.

Tiga pasukan terbabit melengkapkan 14 pasukan yang akan bertanding pada 5 hingga 11 Ogos depan, di Stadium MABA Kuala Lumpur.

Berdasarkan undian, juara lima edisi berturut-turut, Negeri Sembilan berada dalam kumpulan A bersama Penang dan Perak, manakala naib juara tahun lalu, Putrajaya berada dalam kumpulan B bersama Johor dan PDRM.

Kumpulan C pula dianggotai pemenang tempat ketiga, Sabah, Labuan, Sarawak dan Terengganu sementara pemenang tempat keempat tahun lalu, Selangor dalam kumpulan D bersama ATM, Kedah dan Kuala Lumpur.