PENYERANG skuad Negeri Sembilan FC, Mika Junco mengakui dia sangat gembira dengan aksi semua pemain dalam pasukan yang membantu dirinya menyerahkan permainan sebenar ketika membenam Sri Pahang FC 0-2 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Sabtu.
Pemain kelahiran Sepanyol itu yang mendapat kritikan daripada penyokong skuad Jang juga tidak bimbang kerana masih gagal menjaringkan gol kerana apa yang penting baginya adalah kemenangan untuk pasukan.
Baginya juga, kemenangan ini adalah jawapan kepada para penyokong bahawa skuad NSFC musim ini mampu meraih kemenangan dengan para pemain memainkan peranan masing-masing di dalam padang.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana ianya bukan sesuatu yang mudah. Kami berada dalam tempoh sukar sejak permulaan musim dan ini masa untuk bangkit dan harap dapat berikan saingan buat lawan selepas ini.
“Semua tahu kami bermain dengan dua pasukan terbaik di Malaysia, JDT dan Selangor sebelum ini dan kali ini kami buktikan kami mampu untuk meraih kemenangan dengan semua pemain bermain baik dan saya mendapat lebih banyak bola serta sudah mula memahami corak permainan masing-masing.
“Kami adalah satu pasukan dan yang penting adalah kami mencapai kemenangan tanpa mengira siapa pun yang menjaringkan gol,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Mika turut menjelaskan dia semakin serasi dengan corak permainan rakan sepasukan dan tidak sabar untuk menjaringkan gol pertama bersama skuad Jang musim ini.
“Saya gembira dengan permainan saya dalam perlawanan ini dan sudah tentu saya mahu menjaringkan gol pertama untuk Negeri Sembilan tetapi saya percaya kebolehan diri saya dan tidak bimbang tentang perkara ini,” jelasnya.
Gandingan Mika dan Takumi Sasaki dilihat semakin menyerlah dan hanya masa yang akan menentukan bilakah dua penggempur ini akan menjadi pemain paling berbahaya untuk Negeri Sembilan musim ini.