PERANCANG Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki menjelaskan dia selesa dengan posisi baharu yang diberikan kepadanya kerana memberikannya lebih kebebasan sekali gus berjaya membantu pasukan menewaskan Sri Pahang FC 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Sabtu.
Takumi dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas beraksi cemerlang mencetak satu gol dan melakukan satu bantuan jaringan untuk memberikan Negeri Sembilan FC kemenangan pertama musim ini dalam liga.
“Sangat gembira dengan kemenangan ini selepas sering alami kekalahan dari awal musim tetapi saya percaya dengan pasukan ini dan akhirnya kami buktikan mampu raih kemenangan.
“Untuk perlawanan ini, jurulatih ada melakukan pertukaran formasi dan saya gembira dengan perubahan ini kerana posisi ini memberikan saya lebih kebebasan apabila bermain di belakang penyerang utama, Mika.
“Persefahaman saya dan Mika semakin baik dan saya yakin kombinasi kami akan menjadi lebih baik selepas ini dengan menggunakan kepantasan yang ada pada Mika jadi saya lebih mudah untuk melakukan larian,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pemain asal Jepun itu juga tidak dapat menyembunyikan rasa penghargaan kepada penyokong skuad Hobin Jang Hobin dan atas sebab itu dia meraikan jaringannya bersama-sama penyokong yang hadir ke stadium.
“Selepas lama tidak merasai kemenangan saya berdoa buat pasukan dan saya tujukan kemenangan ini kepada penyokong dan sebab itu saya berlari ke arah mereka selepas jaringkan gol,” jelasnya.
Negeri Sembilan FC berjaya meleraikan kekusutan dengan kemenangan pertama ini dan kini akan kembali menjalani latihan untuk menghadapi Sabah FC dalam aksi keenam Liga Super.