URUGUAY menewaskan Kanada menerusi penentuan penalti untuk meraih tempat ketiga Copa America selepas seri 2-2 dalam aksi Stadium Bank of America, Charlotte.

Pemain Kanada, Ismael Kone menyaksikan sepakan lemahnya diselamatkan penjaga gol, Sergio Rochet dan ‘sepakan’Panenka’ Alphonse Davies terkena palang untuk Uruguay menang 4-3.

Di babak pertama, Rodrigo Bentancur membuka jaringan untuk Uruguay pada minit kelapan, tetapi Kone menyamakan kedudukan dengan jaringan akrobatik 14 minit kemudian.

Ryan Betancur (kiri) membuka jaringan pada minit ke-14. (Sumber Gambar: Reuters)

Kanada mendahului permainan pada minit ke-80 menerusi Jonathan David, yang membuat tindakan susulan selepas Rochet menepis percubaan jarak jauh Kone.

Uruguay mengheret perlawanan ke penentuan penalti menerusi penjaring terbanyak sepanjang zamannya, Luis Suarez, yang menyempurnakan hantaran lintang Jose Maria Gimenez untuk gol antarabangsa ke-69 dirinya.

Esok, juara bertahan, Argentina akan bertemu Colombia di Stadium Hard Rock di Miami Gardens, Florida untuk penentuan kejuaraan.