SKUAD tennis wanita Malaysia kini bersedia untuk membawa cabaran negara dalam Kejohanan Billie Jean King Cup Asia/Oceania Group II 2024 yang akan membuka tirai pertandingan dari 15 hingga 20 Julai 2024.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Sri Lanka untuk merebut dua tempat terbaik dari 11 pasukan bertanding sekali gus layak ke Group I untuk tahun akan datang.
Skuad Malaysia akan diterajui Elsa Wan Rahman, pemain ranking ke-384 dunia selain Saw Jo Leen, Hannah Yip, Iman Syuhada, Soo Hui Yi dibawah bimbingan ketua pasukan, Mulyadi Jamal diperkenalkan ketika sesi sidang media di Kuala Lumpur pada Ahad.
Hadir di sidang media itu adalah Presiden Tennis Malaysia, Mirzan Mahathir dan Pengarah Kejohanan, Hang Kok Long yang mahu melihat skuad tennis wanita memperbaharui keputusan tahun lalu di tangga keenam.
“Kita menamatkan kejohanan di tangga kelapan pada 2022 dan keenam pada 2023 oleh itu untuk tahun ini kita meletakkan sasaran untuk mendapat ranking yang lebih baik dan sekiranya berjaya menduduki dua tempat teratas ianya dianggap bonus.
‘Uzbekistan adalah pasukan di ranking terbaik dalam kumpulan tetapi ini akan memberikan satu persaingan yang baik untuk pemain-pemain Malaysia,” kata Mirzan.
Kapten pasukan, Mulyadi Jamal pula mengakui Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk memberikan persembahan yang baik berdasarkan undian yang telah dilakukan.
“Melihat kepada undian, kami optimis dengan peluang yang ada. Kesemua pemain sudah bersedia dan tidak sabar untuk mempamerkan permainan tennis terbaik di hadapan penyokong sendiri,” jelasnya.
10 lagi pasukan yang mengambil bahagian adalah Hong Kong, Singapura, Thailand, Iran, Kyrgyzstan, Sri Lanka, Indonesia, Pakistan, Mongolia dan Uzbekistan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.
Kejohanan yang mendapat sokongan dan geran padanan sukan dari Kementerian Belia dan Sukan ini akan berlangsung di Kompleks Tennis Tun Razak, Kuala Lumpur dengan kemasukan diberikan secara percuma kepada semua peminat tennis tanah air.