Kredit: MUTD Media

VIRAL satu video melibatkan saingan Divisyen 1 Liga Melaka dimana pemain Hulubalang FC terpaksa mengangkat rakan sepasukan yang cedera untuk diusung keluar padang.

Hal ini lebih mengecewakan apabila pihak penganjur membiarkan anak muda yang cedera itu diangkat tanpa menggunakan ‘stretcher’ atau pengusung kerana ketiadaan objek penting itu.

Agak menyedihkan apabila menyaksikan situasi seperti ini berlaku dalam liga utama yang dianjurkan sendiri oleh persatuan bola sepak negeri, dan dilihat seolah-oleh melepaskan batuk di tangga.

Menurut paparan video yang dimuat naik di laman rasmi MUTD Media, seorang penonton bola sepak yang hadir telah merakamkan aksi kejadian berkenaan sambil menyatakan, “Minta stretcher (pengusung), stretcher tak ada”.

Situasi ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa penganjur belum bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan yang membabitkan banyak pasukan sekali gus sehingga memaparkan pelbagai kekurangan.

Difahamkan bahawa perlawanan ini masih berada dalam minggu kedua, dan MAFA masih mempunyai masa untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada bagi memastikan Liga Melaka terus relevan dan mendapat sokongan daripada penyokong di negeri berkenaan.