KAPTEN pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus bertahan dan berjuang bersama pasukannya, walaupun isu gaji masih belum selesai sepenuhnya.

Paulo ditemui oleh pihak media selepas tamat perlawanan Liga Super pada malam Ahad, sekali gus menyaksikan keputusan positif 1-0 buat pasukannya setelah menundukkan Selangor FC di laman sendiri.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, dia telah mencapai kata sepakat dan berbincang bersama pihak pengurusan mengenai tunggakan gaji yang dialaminya.

KL City tewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi Liga Super, Ahad.

Paulo menyifatkan bahawa dirinya cuba memahami segala faktor isu kewangan yang menimpa kelabnya itu, dan tiada masalah untuknya jika pihak pengurusan hanya mampu menyelesaikan tunggakan gaji sedikit demi sedikit.

“Saya ada berbincang mengenai kes saya sebelum ini, saya juga tiada masalah jika mereka lunaskan gaji saya secara ansuran cuma saya berharap agar semuanya akan segera diselesaikan dengan baik.

“Tiada masalah juga untuk saya menunggu mereka selesaikan masalah, saya mahu gaji saya diselesaikan tepat pada masa tetapi saya faham mereka juga ‘struggle’. Walau apapun, saya tidak mahu berganjak dari sini (KL City).

Paulo Josue ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super pada Ahad.

“Saya tidak mahu tinggalkan KL City, saya tidak mahu tinggalkan negara ini dan enggan berpindah ke kelab lain. Memang ada kelab yang melamar saya tetapi saya tetap tidak akan pergi kerana hati saya ada di sini dan mungkin mahu bersara di sini,” kata Paulo ketika ditemui pada Ahad di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Isu tunggakan gaji KL City hampir menemui jalan penyelesaian selepas khabar angin yang menyatakan bahawa pihak penaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menyerahkan sejumlah wang untuk selesaikan tunggakan gaji pemain dan staf.

Semangat juang yang tinggi pada Paulo Josue harus dihargai oleh kelab Lembah Klang itu dan pihak pengurusan perlu segera menangani masalah demikian agar pemain-pemain lain terus meletakkan kepercayaan kepada pasukannya.