LATIHAN hari pertama di Paris, memberi keselesaan kepada pemain badminton negara yang melakukan persiapan akhir, 10 hari sebelum Sukan Olimpik Paris membuka tirainya 26 Julai ini.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menganggap pemilihan lokasi kem latihan fasa akhir di Kompleks Sukan Aire Sur La Lys, di Perancis adalah pilihan tepat.

Kompleks Sukan Aire Sur La Lys, di Perancis cukup selesa buat pemain badminton dari BAM menjalani persiapan awal.

Malah Aaron menganggap, lokasi itu bebas dari kesibukan dan tidak diganggu orang awam.

“Latihan hari pertama di Paris… agak bagus kerana tidak ramai orang di sini, kami boleh fokus kerana agak sunyi dan saya berasa hanya kita (kem badminton Malaysia) berlatih di sini dan latihan boleh lebih fokus,” kata Aaron, yang sudah berada di Perancis.

Mengulas mengenai undian kumpulan bagi beregu lelaki di Temasya Paris yang berlangsung semalam, Aaron mereka mendapat undian normal dan bertuah berada dalam kumpulan A.

Meskipun diundi bersama pemain nombor 1 dunia, dua lagi lawan dalam kumpulan A dijangka tiada masalah untuk Aaron-Wooi Yik atasi.

Kumpulan D dianggap menjadi kumpulan maut buat saingan beregu lelaki Sukan Olimpik Paris.

“Undian untuk kami ni OK lah… standard tapi saya lihat kumpulan D tu amat sukar.

“Sekarang kami sudah masuk kumpulan A, sudah boleh fokus,” kata Aaron.

Undian Sukan Olimpik Paris, bagi beregu lelaki sepatutnya berlangsung serentak dengan kategori lain, Jumat lalu, namun ditangguhkan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) melibatkan acara beregu lelaki.

Justeru, pada undian berlangsung semalam, Aaron-Wooi Yik diundi dalam kumpulan A, bersama pilihan utama kejohanan yang juga pasangan nombor 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Mereka akan disaingi Adam Dong-Nyl Yakura dari Kanada dan pasangan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy.

“Sekarang sudah dapat melihat undian, saya rasa fokus kami lebih jelas, lebih mudah untuk melakukan persiapan dalam tempoh seminggu latihan akhir di Perancis ini.

“Saya dan Aaron akan lebih fokus kepada lawan-lawan yang akan temui.

“Buat masa ini, kami aku melakukan sehabis baik dan enjoy dalam latihan,” kata Wooi Yik.

Pada undian yang berlangsung semalam, pilihan keempat kejohanan, juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan berada dalam kumpulan B bersama pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, Christo Popov-Toma Junior Popov (Perancis) dan Ondrej Kral-Adam Mendrek (Republik Czech).

Aaron Chia-Soh Wooi Yik lega undian beregu lelaki selesai.

Pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pula mengetuai kumpulan C, bersama Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Mark Lamsfuss-Marvin Seidel (Jerman) dan Lucas Corvee-Ronan Labar (Perancis).

Sementara kumpulan D, boleh dianggap kumpulan maut diketuai pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China), Lee Yang-Wang Chi Lin (Taiwan) dan Vinson Chiu-Joshua Yuan (Amerika Syarikat).

Pada Temasya Tokyo tiga tahun lalu, emas Olimpik dimenangi gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, perak dimenangi gandingan Liu Yu Chen-Li Junhui manakala gangsa milik pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.