MINUMAN coklat bertenaga, MILO akan terus berkerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan memberikan minuman bertenaga buat atlet negara, terutamanya yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
Sebanyak 26 atlet dan 40 pegawai akan dapat kekal bertenaga dengan minuman paling digemari negara sebagai rakan kongsi rasmi minuman coklat berkhasiat untuk Kontinjen Malaysia sepanjang perjalanan mereka di Paris bermula dengan Majlis Perasmian pada 26 Julai ini.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, sumbangan MILO yang sekian lama sukar untuk diabaikan kerana jenama itu telah bersama badan sukan kebangsaan itu dalam setiap langkah sepanjang perjalanan Malaysia sejak penyertaan pertama Malaysia ke Sukan Olimpik sebagai Malaya di Melbourne 1956.
“Adalah mustahil untuk mengabaikan sokongan Milo selepas sokongan selama beberapa dekad sebelum ini. Sebagai rakan kongsi MOM yang paling lama, Milo telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang kepada atlet Malaysia untuk mengasah bakat mereka dan mewakili Malaya/Malaysia di pentas serantau dan global.
“Milo telah menyokong lebih daripada 16 kontinjen ke Sukan Olimpik dan Permainan Pelbagai Sukan lain, termasuk Sukan Olimpik Musim Sejuk, Sukan Olimpik Belia dan Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk.
“Memandangkan asal usul MILO berkait rapat dengan sejarah negara kita, jenama itu telah menjadi bahagian penting dalam warisan sukan Malaysia selama hampir tujuh dekad, memberikan para atlet yang cemerlang dengan kebaikan berkhasiat,” katanya dalam sidang media di MOM.
Menurut Pengurus Pemasaran Sukan Produk Nestle, Lim Kerwin berkata bahawa atlet dan pegawai negara serta pengamal media yang berada di Paris akan mendapat produk keluaran Nestle terutamanya Milo, Nescafe dan Maggi.
Kolaborasi antara Milo dan MOM akan kekal sehingga 2028, dengan Milo akan memberi bantuan kewangan dan ‘in-kind contribution’ buat kontinjen Malaysia untuk bersaing dalam permainan pelbagai sukan.