NILAI tajaan untuk kontinjen negara yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 meningkat dua kali ganda berbanding Tokyo 2020.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib dalam satu sidang media di ibu negara.

“Kita mempunyai banyak penaja baharu yang bersama kita untuk menyokong kontinjen negara ke Paris.

“Semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020, banyak syarikat tidak begitu aktif untuk menaja kerana masih bergelut dengan pandemik Covid-19 ketika itu.

“Saya tidak tahu jumlah sebenar namun saya boleh katakan ianya lebih dari sebelum ini di Tokyo.

Samsonite turut menaja kontinjen negara ke Paris 2024

“Minat terhadap sukan juga telah meningkat dan banyak aktiviti sukan telah dijalankan kini sehingga lebih ramai penaja mendekati kita terutamanya Samsonite dan Skechers,” katanya.

“Mereka (Samsonite dan Skrchers) sendiri yang tampil dan menyatakan minat mereka untuk menyokong kontinjen Malaysia.

“Skechers dan Samsonite merupakan penaja one-off dan walaupun mereka hanya taja secara one-off untuk Paris, kita berharap untuk bersambung dengan mereka untuk empat tahun lagi.

Skechers tampil menaja kasut bagi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024

“Kita berharap untuk Skechers untuk menjadi penaja rasmi kasut untuk Sukan SEA akan datang dan lain-lain,” tambahnya.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula pada 26 Julai dengan Majlis Pembukaan Perasmian temasya sukan terbesar dunia itu.