HANYA tinggal Harith Danial Jefri menggalas cabaran negara di separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia (WJSC) yang berlangsung di Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS) selepas seorang lagi wakil negara, Low Wa-Sern kandas di suku akhir.

Harith berjaya mencipta sensasi di kejohanan itu, mengejutkan pilihan ke 9/16 dari England, Abdallah Eissa, 11-6, 11-9, 11-6 dalam masa hanya 33 minit pada suku akhir.

Ironinya, pemain harapan negara itu muncul pemain skuasy remaja lelaki negara pertama ke separuh akhir sejak 2016 ketika Ng Eain Yow muncul juara kejohanan berlangsung di Bielsko-Biala, Poland.

Harith Danial melakukan kejutan terbesar di pusingan keempat apabila menyingkir pilihan 3/4 dari Colombia Juan Jose Torres.

Terdahulu, pemain kelahiran Sarawak itu mengejutkan pilihan ¾ dari Colombia, Juan Jose Torres 11-4, 7-11, 11-2, 11-7.

“Melangkah ke separuh akhir bermakna saya sudah mencapai sasaran untuk berada dalam kelompok Top 10 di Kejohanan Remaja Dunia,” kata Harith.

Harith berpeluang  menempah tiket ke final, apabila dijadual menentang pemain Korea Selatan, Joo Young Na, yang melakar kejutan besar, menyingkir pilihan keduua dari Pakistan, Hamza Khan 11-9, 11-9, 7-11, 3-11, 11-5 pada satu lagi perlawanan suku akhir.

Berdasarkan pertemuan lalu, Harith Danial memiliki kemampuan menewaskan Joo Young Na di separuh akhir nanti.

“Saya teruja dengan prestasi saya di sini tapi saya perlu kekal tenang dan fikus pada separuh akhir nanti. Biarpun saya pernah menewaskan Young Na bulan lepas, itu tidak bermakna aksi separuh akhir akan menjadi mudah buat saya.

“Saya tidak meletakkan harapan besar melainkan memberi aksi terbaik,” katanya.

Pada Kejohanan Remaja Asia kira-kira dua minggu lalu, Harith menewaskan Young Na 11-9, 6-11, 11-6, 12-10 di peringkat separuh akhir, sebelum muncul naib juara kejohanan selepas tunduk kepada Hamza Khan dari Pakistan.

Dalam pada itu, Wa-Sern tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pemain India, Shaurya 11-2, 4-11, 12-10, 8-11, 10-12.