BERITA menyedihkan buat keluarga bola sepak Malaysia hari ini apabila ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-Gon secara rasmi melepaskan jawatan yang dipegang sejak tahun 2022.

Tidak hanya peminat bola sepak yang kecewa, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi turut menyifatkan pemergian jurulatih Korea Selatan itu sebagai satu kehilangan besar dalam arena bola sepak negara.

Menurut Yusoff, pihaknya sudah cuba untuk menggunakan segala inisiatif dan merayu supaya Pan-Gon melupakan hasratnya untuk meninggalkan Harimau Malaya namun akhirnya tetap tidak berjaya.

Kim Pan-Gon letak jawatan Ketua jurulatih kebangsaan.

Dengan itu, perletakkan jawatan Pan-Gon sebelum tamat kontrak sebenarnya (Disember 2025) adalah satu perkara yang menyedihkan dan mengecewakan pihak FAM, juga rata-rata peminat bola sepak negara.

Coach Kim sudah berjumpa dengan pengurusan tertinggi untuk menyatakan hasrat beliau dan kita juga sudah berkali-kali memujuk untuk beliau tidak meneruskan perancangannya. Tetapi, beliau masih dengan pelannya untuk memendekkan kontraknya.

“Jadi hari ini, dia menyatakan sendiri bahawa dia terpaksa pergi atas dasar komitmen peribadi. Kita amat sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku kerana sumbangannya amat besar dalam bola sepak negara. Dia berjaya membawa Harimau Malaya ke peringkat tertinggi dan melonjakkan ranking FIFA kita.

Datuk Wira Yusoff  Mahadi dan Datuk Noor Azman ketika sesi sidang media pada Selasa.

“Kita terpaksa menghormati keputusan Coach Kim walaupun dalam tempoh dua minggu ini kita cuba sedaya upaya memujuknya. Tetapi atas alasan yang kita tahu, FAM telah menerima keputusannya,” ujarnya ketika sesi sidang media di Wisma FAM pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Yusoff turut mendedahkan bahawa pihak FAM telah bersepakat untuk melantik Pau Marti Vicente (pembantu ketua jurulatih) sebagai pemangku ketua jurulatih untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan Pan-Gon.

“Jawatan yang kosong ini sudah kita bincangkan dan pembantu jurulatih sekarang akan mengisi kekosongan posisi tersebut. Pau Marti akan mengemudi Pestabola Merdeka dan kejohanan seterusnya untuk kita nilai prestasi skuad kebangsaan di bawah kepimpinannya,” tambahnya.