PEMBANTU ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dilantik sebagai pemangku jurulatih untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Kim Pan-Gon hari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa prestasi Pau Marti akan dinilai oleh (FAM) melalui dua kejohanan terdekat.

Menurutnya, Pau Marti akan mengemudi pasukan Harimau Malaya dalam kempen Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada September depan serta kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 hujung tahun ini.

“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

Datuk Wira Mohd Yusuf ketika ditemui di Wisma FAM pada Selasa.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-Pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti ini terutama menjelang Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Selain Pau Marti, Yusoff menjelaskan bahawa semua staf kejurulatihan yang lain turut dikekalkan dan hanya Kim Pan-gon sahaja yang meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Pan-Gon secara rasmi melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya atas faktor komitmen peribadinya.