HATRIK Mahmoud Al-Mardi memastikan kemenangan diperlukan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk membenam cabaran Visakha FC 5-1 dalam saingan terakhir Kumpulan G, Piala AFC 2022 di Gianyar, Bali malam ini.

Turun dengan keazaman tinggi memburu gol awal, KDA FC bermula cemerlang dengan melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan sebaik tiupan wisel dibunyikan.

Pemain import asal Cameroon, Ngah Wanja mensia-siakan peluang meletakkan pasukannya mendahului apabila sepakan penalti awal permainan diambil tersasar ke atas palang gol.

Mohammed Faeez Khan berjaya memecahkan kebuntuan jaringan m-20 untuk kelab dari Kemboja itu yang melonjak tinggi menanduk gol selepas menerima bola dari situasi set-piece.

Bagaikan tersentak dari lamunan, Sang Kenari kembali menyusun strategi dan hasilnya Mahmoud Al-Mardi menyamakan kedudukan di Bali m-28 sebelum menggandakan lagi gol menerusi sepakan percuma cantik di luar kotak penalti menewaskan Keo Soksela di penghujung masa tambahan.

Bersambung babak kedua, KDA FC melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Fayadh Zulkifli, Heshamudin Ahmad, Al Hafiz Harun, Asnan Ahmad dan Fadzrul Danel.

Sepanjang permainan, pemain KDA FC melepaskan 14 percubaan dan menguasai 58 peratusan bola.

Fayadh terus meledak gol keempat Kedah m-67 sebelum Ngah Wanja menebus kehampaan penalti untuk menjadikan kedudukan 5-1 dan kekal hingga perlawanan berakhir.

Kelab dari utara tanah air itu muncul juara Kumpulan G walaupun berkongsi enam mata bersama Visakha dan juga tuan rumah, Bali United.