KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ternyata berpuas hati dengan kualiti dan bakat pemain muda pasukan itu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk merebut tempat dalam skuad utama.

Jurulatih berusia 53 tahun itu memuji aksi yang ditampilkan pemain bawah 23 tahun (B-23), Azhad Harraz Arman dan Harith Naem Jaineh yang diturunkan dalam pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Likas Sabtu lalu.

Baginya, beliau sangat berpuas hati dengan komitmen serta karakter yang ditampilkan dua pemain itu semasa perlawanan tersebut dan menegaskan Azhad dan Harith memerlukan masa lebih banyak masa untuk berkembang.

“Untuk pemain-pemain yang jarang diturunkan seperti Harraz dan Harith, kita boleh nampak mereka mencuba sedaya upaya.”

“Saya juga percaya mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri namun mereka beraksi dengan sangat baik” jelas Kim Swee.

Tambahnya lagi, apabila tonggak utama pasukan itu mengalami kecederaan, pemain muda harus mengambil peluang untuk mempamerkan aksi terbaik sekali gus dapat bersaing bersama pemain utama yang lain.

Harith Naem cuba untuk merebut bola dengan Feroz Baharuddin

Kim Swee dalam temubual juga berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan anak buahnya dalam pertemuan menentang JDT walaupun dihimpit dengan kecederaan beberapa tonggak utama mereka.

Sabah FC yang kini menghuni tangga ke-5 dalam carta liga super musim ini, telah mencatatkan dua kemenangan, satu kekalahan dan satu seri selepas empat perlawanan.

Pasukan itu akan menanti kunjungan pasukan Negeri Sembilan FC dalam aksi liga seterusnya yang akan berlangsung pada 25 Julai di Stadium Likas.