TONGGAK utama Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim turut meluahkan rasa hiba dengan keputusan Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang memilih untuk meninggalkan arena bola sepak Malaysia.
Faisal dalam satu ‘Instagram Story’ miliknya pada Selasa, mendedahkan bahawa dia masih mengenangkan kata-kata motivasi dan pemangkin semangat yang diberikan oleh Pan-Gon kepada dirinya selepas kejadian simbahan asid.
Tidak dinafikan juga, pemain berusia 26 tahun itu begitu menganggap pemergian jurulatih Korea Selatan adalah satu khabar yang menyedihkan buatnya.
“Ini berita yang sangat menyedihkan. Saya masih ingat dua bulan yang lalu, Coach Kim datang ke hospital dan memberikan sokongan serta kekuatan.
“Coach berkata kepada saya, Faisal, saya mahu lihat awak kembali dengan lebih kuat demi skuad kebangsaan. Saya akan berikan sokongan dan percayalah kepada saya bahawa awak akan menjadi lebih kuat.
“Terima kasih coach untuk segalanya,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.
Faisal yang merupakan salah seorang pemain lincah skuad kebangsaan kini sedang menjalani proses pemulihan selepas kejadian simbah asid yang menimpanya pada Mei lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
“We all stand with you, Faisal” – KPG
Dapat dilihat keakraban antara dua personaliti ini adalah satu perkara bernilai, lebih-lebih lagi Faisal juga antara pemain yang sering diturunkan di padang sejak pelantikan Kim Pan-gon sebagai jurulatih Malaysia pada 2022.