KELIHATAN mudah, namun wakil perseorangan lelaki negara ke Sukan Olimpik Paris, Lee Zii Jia sedar perjalanan dalam misi memenuhi impian memenangi pingat emas di temasya itu, cukup berliku.

Ukuran peluangnya memburu pingat emas pertama negara, tidak boleh hanya disandarkan undian di peringkat kumpulan kerana peringkat kalah mati cukup sukar apabila dia dijangka berdepan barisan pemain berstatus ‘gergasi’.

Zii Jia  dijangka muncul juara Kumpulan G yang turut dibarisi pemain Sepanyol, Pablo Abian dan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka, untuk menempah tiket ke pusingan 16 terakhir.

Lee Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah untuk keluar dari kumpulan G sebagai juara kumpulan.

“Lawan sudah pun diketahui, jalan sukar menanti. Daripada pemain gergasi hingga ke pemain harapan masa depan.

“Perjuangan sebenar adalah menentang diri sendiri. Keinginan untuk menang sebahagian daripada perjuangan tetapi mengetahui caranya akan menjadi kunci untuk memenanginya.

“Sekali lagi akan mengharungi pertarungan yang hebat dan satu lagi peluang untuk memenuhi impian. Saya perlu berani untuk berjuang.

“Walaupun saya bersendirian di dalam gelanggang tetapi saya tahu ramai yang akan memberi sokongan kepada saya,” katanya menerusi hantaran di laman X Team LZJ.

Sebaik melepasi peringkat kumpulan, Zii Jia dijangka berdepan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, merebut tiket ke suku akhir.

Lee Zii Jia hanya perlu fokus satu persatu perlawanan.

Sekiranya berjaya melepasi Ginting, laluan seterusnya buat Zii Jia adalah menentang rakan baiknya dari Denmark, Anders Antonsen manakala bintang sensasi China yang juga pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi diramal menjadi lawan jika masing-masing melangkah ke separuh akhir.

Juara bertahan yang jaguh perseorangan Denmark, Viktor Axelsen dijangka menantinya bagi perebutan emas andai mara ke pentas final.

Olimpik Paris akan menjadi penampilan kedua Zii Jia beraksi di temasya terbesar dunia itu selepas membuat kemunculan sulung di Olimpik Tokyo 2020.

Di Tokyo, Zii Jia yang ketika itu diundi dalam Kumpulan M menang dalam kedua-dua perlawanan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dan Artem Pochtarov untuk muncul juara kumpulan.

Bagaimanapun, langkahnya terhenti selepas tewas dalam pertarungan tiga set di tangan bintang China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21 di pusingan 16 terakhir.

Selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu awal tahun ini, Zii Jia mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila merekodkan dua kejuaraan dan satu naib juara dalam lima kejohanan terakhirnya sebelum Olimpik Paris.

Dia muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Australia manakala naib juara di Masters Malaysia.