KETUA jurulatih Kelantan Darul Naim FC II, Khairan Eroza Razali tidak dapat menyembunyikan rasa gembira selepas menyaksikan barisan pemainnya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 pada perlawanan kelima Piala MFL 2024/25 mengatasi Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak, petang Rabu.

Beliau yang ditemui sebaik wisel tamat dibunyikan pengadil bertugas berkata tiada ungkapan lain selain rasa syukur kerana pasukannya mengutip tiga mata penuh.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah kerana kami berjaya mengutip mata mengatasi Kuching City.

Ketua Jurulatih KDN II FC, Khairan Eroza Razali

“Kami tahu bukan tugasan senang nak kutip mata di sini kerana pihak lawan juga bermain dengan sangat baik di hadapan penyokong mereka sendiri,” ujarnya.

Katanya, biarpun sedikit tidak berpuas hati dengan corak persembahan, beliau tetap memberikan kredit kepada semua anak buahnya.

“Perlawanan ini, saya sedikit tidak berpuas hati kerana pemain saya bermula perlahan sehingga kerap melakukan kesilapan mudah. Mereka (pemain) sedikit kepenatan menyebabkan melakukan kesilapan mudah tetapi apa pun, kita berjaya mengutip mata.

“Kredit tetap harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka berjuang untuk merebut tiga mata yang sangat diidamkan,” katanya.

Pada aksi itu, KDN FC II mencipta kemenangan menerusi jaringan Fazrul Amir Md Zaman seawal mjnit kedua seterusnya membolehkan pasukan kendalian Khairan Eroza kekal di tangga teratas liga dengan mengutip 13 mata dari lima perlawanan.