SEKRETARIAT Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukma XXI Sarawak 2024 telah menerima tajaan berjumlah lebih RM13 juta.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sumbangan ini akan meningkatkan potensi atlet muda negara dalam memartabatkan kecemerlangan sukan negara seperti Sukma dan Para Sukma.

“Kepercayaan anda terhadap potensi atlet muda kami dan dedikasi anda untuk mempromosikan kecemerlangan sukan akan memberi impak mendalam kepada acara sukan negara yang berprestij ini.

“Sehingga kini, kami menerima seramai 27 penaja dengan jumlah sumbangan wang tunai dan barangan berjumlah RM13,040,360,” katanya.

Pada majlis itu, setiap penaja terdiri daripada badan korporat, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan diraikan dalam Majlis Apresiasi Penaja Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024 di sebuah hotel terkemuka pada Rabu.

Antara penaja Platinum ialah Milo, CelcomDigi, U Mobile dan Moma, manakala penaja Emas terdiri daripada Sarawak Energy, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Sistem Maklumat Sarawak (SAINS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Cahya Mata, TA ANN dan 100 Plus.

Sementara itu, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA), Pelabuhan Bintulu, AFFIN Bank, Press Metal, WTK, MY US dan Auto Tech sebagai penaja Perak.

Penaja Gangsa ialah Brooke Holding, BDS, Sarawak Incorporated Sdn. Bhd (SISB), SHELL, Hock Seng Lee, Ibraco, KTS dan Lee Fah.

Sementara itu, Malaysia Airlines, Grab, Keris Sakti, Bus Rapid, TVS dan RTM sebagai rakan strategik Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024.

Mengulas lanjut, Abdul Karim menegaskan antara sebab Kerajaan Sarawak bersetuju menganjurkan Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024 adalah untuk memupuk bakat dalam sukan.

“Acara (Sukma) ini akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan belia dan sukan kita.

“Melihat ke hadapan, kami yakin dengan sokongan berterusan daripada penaja seperti anda, kami dapat meningkatkan lagi taraf sukan negara dan memperkasakan lebih ramai atlet muda untuk cemerlang dalam bidang pilihan mereka,” jelasnya.